Saturday, August 25, 2012

Usaha Tangga Kejayaan



Oleh
Nurul Emiera bt. Rohaizad
(Pemenang Hadiah Menulis Cerpen)

Rina adalah seorang gadis yang baik. Dia berumur 15 tahun dan tinggal bersama keluarga yang hidup sederhana. Namun Rina tetap bersyukur atas nikmat yang telah diberikan oleh Allah s.w.t kepadanya. Rina adalah seorang anak tunggal yang sering mendengar kata ibu bapanya. Dia tidak pernah melawan kerana dia tahu bahawa perbuatan itu adalah dosa.
                Rina adalah seorang yang mementingkan pelajaran. Pada tahun ini, dia akan menghadapai Penilaian Menengah Rendah (PMR). Oleh itu, Rina berazam untuk mencapai kejayaan lapan A dalam PMR. Dia tidak ingin mengecewakan kedua ibubapanya yang telah mendidiknya sejak kecil lagi.
                “Rina, kamu belajarlah bersungguh-sungguh nak, Tanamkan azam dalam diri kamu untuk mencapai kejayaan lapan A dalam PMR”. Pesan ibunya.
                “Insyallah ibu, Rina akan belajar bersungguh-sungguh. Rina tidak akan mengecewakan ibu dan ayah” janji Rina kepada ibunya.
                Di sekolah, Rina mempunyai ramai teman. Mereka sering membuat perbincangan tentang pelajaran. Mereka sentiasa bersikap serius ketika guru sedang mengajar kerana mereka tahu bahawa sekiranya mereka tidak serius ketika guru sedang mengajar mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran.
                “Baiklah pelajar-pelajar, dua minggu lagi kamu semua akan menghadapi Pra PMR. Saya harap kamu sudah membuat persediaan yang secukupnya untuk peperiksaan tersebut dan tolong ingat pesan saya, usaha adalah tangga kejayaan. Jadi kamu semua berusahalah bersungguh-sungguh. Jangan kecewakan kedua ibubapa yang telah mendidik dan menjaga kamu sejak kecil”. Kata cikgu Riduan kepada Rina dan rakan-rakan sekelasnya.
                Sejak itu, Rina dan rakan sekelasnya yang lain mula membuat persediaan untuk peperiksaan yang akal menjelang. Mereka sering membuat perbincangan bersama di dalam kelas. Cikgu Riduan juga sering membuat kelas tuisyen untuk mereka demi kejayaan mereka bersama.
                “Saya tidak mahu kamu semua gagal dalam peperiksaan ini. Saya mahu kamu semua berjaya dan kerana itulah saya sanggup korbankan masa untuk kamu semua dengan mengadakan kelas tuisyen”. Kata cikgu Riduan kepada anak-anak murid yang disayanginya.
                Akhirnya, Pra PMR telah pun berlalu. Keputusan juga telah diberikan, semua rakan Rina telah lulus dalam peperiksaan tersebut tetapi Rina berasa terkejut dengan keputusan yang diperolehnya. Dia benar-benar tidak menduga dengan keputusan yang diperoleh dari Pra PMR tersebut. Rina berasa sangat sedih. Dia telah mengecewakan kedua ibu bapanya dengan begitu juga dengan cikgu Riduan.
                “Ya, Allah apakah ini satu ujian untukku?. Ya Allah, sesungguhnya aku telah berusaha dengan bersungguh-sungguh, tetapi mangapa aku gagal?. Astaghfirullahalazim. Ya Allah, engkau tenangkanlah hatiku dan berikan aku kekuatan. Jauhilah aku dari sifat berputus asa”, Doa Rina dalam hati sambil menangis.
                “Rina, awak janganlah bersedih. Awak kena terima semua ini dengan hati yang tenang, Rina. Awak tidak boleh salahkan takdir. Ini semua ujian dari Allah. Dia nak awak terus berusaha untuk mencapai kejayaan. Masih belum terlambat lagi”. Kata cikgu Riduan kepada Rina.
                “Saya faham cikgu, tapi saya dah kecewakan ibu dan ayah. Saya tak sanggup hendak tunjukkan keputusan saya kepada mereka. Tentunya mereka akan memarahi saya nanti, kan cikgu?”, jawab Rina.
                “Rina, tak baik awak berkata begitu. Setiap ibu bapa tidak akan pernah membenci anaknya sendiri. Awak perlu yakin bahawa awak pasti akan berjaya”, tambah cikgu Riduan kepada Rina.
                “Baiklah cikgu, mulai saat ini, saya akan berusaha lagi dengan lebih bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam PMR yang bakal saya dan rakan-rakan hadapi tidak lama lagi”, jawab Rina.
                Sebaik sahaja tiba di rumah, Rina terus menangis di pangkuan ibunya. Dia tidak sanggup untuk memberitahu keputusan peperiksaan kepada ibu dan ayahnya.
                “Kenapa ni sayang?”, tanya ibunya.
                “Ibu, maafkan Rina yang telah kecewakan ibu dan ayah, maafkan Rina” jawab Rina sambil menangis.
                “Sayang, itu semua adalah takdir Allah. Tidak mengapalah nak, gagal tidak bererti akan gagal untuk selamanya. Ibu harap dalam PMR sebenarnya nanti kamu akan mencapai kejayaan yang kamu inginkan selama ini”, kata ibunnya.
                “Ibu, Rina janji, Rina akan buktikan kepada ibu dan ayah yang Rina boleh berjaya”, kata Rina.
                Semenjak itu, Rina sering membuat latihan tambahan di rumah. Ibunya sering memberikan sokongan dan dorongan kepadanya. Rina juga sering bertanya kepada guru sekiranya dia tidak memahami sesuatu tajuk. Rina tidak pernah berhenti membuat latihan. Dia tetap berusaha bersungguh-sungguh. Rina tidak pernah jemu membuat latihan kerana dia tahu bahawa dengan membuat latihan, dia akan dapat mengukuhkan lagi kefahaman terhadap sesuatu mata pelajaran.
                Pada suatu pagi di dalam bilik darjah tiga Arif, selepas loceng masa ke-4 yang menandakan waktu rehat bagi semua pelajar menengah rendah. Kelihatan rakan-rakan kelas Rina bergegas keluar kelas untuk menjamu selera di kantin sekolah. Suasana mula hiruk-pikuk dengan suara pelajar-pelajar yang tidak sabar dengan urusan masing-masing.
                “Rina, aku cukup bangga dengan engkau. Walaupun kau gagal dalam Pra PMR namun kau tidak pernah berputus asa. Malah engkau terus berusaha bagi mencapai kejayaan yang sudah lama diidamkan itu”, kata Linda teman baik Rina kepadanya.
                “Aku tidak akan pernah putus asa. Aku tak nak kecewakan ibu dan ayah aku lagi. Aku nak buktikan kepada mereka yang aku akan berjaya”, kata Rina kepada Linda.
                Sebulan selepas peristiwa itu, esok merupakan hari penting bagi Rina bersama rakan-rakan sekelasnya. Mereka akan menduduki Penilaian Menengah Rendah.
                “Ya Allah, engkau berkatilah segala usaha yang telah aku lakukan. Berikan kejayaan kepadaku Ya Allah” Doa Rina dalam solat subuhnya pagi itu. Selesai memakai pakaian seragam sekolah Rina terus menuju ke dapur rumah untuk bersarapan bersama ayah dan ibunya. Rina terus duduk di meja makan bersebelahan dengan ibunya. Mereka berpesan agar Rina sentiasa fokus dalam menjawab soalan-soalan PMR nanti.
                Akhirnya, tiga hari kemudian PMR telah pun berlalu. Rina dan rakan-rakanya berasa cukup lega kerana mereka telah pun menghadapi ujian yang penting. Mereka telah pun berusaha dengan bersungguh-sungguh. Kini mereka hanya mampu bertawwakal kepada Allah supaya mereka mendapat kejayaan yang cemerlang dalam PMR.
                Kira-kira tiga bulan selepas mereka menduduki PMR, keputusan PMR akan diumumkan. Seramai 30 orang pelajar SMK. Dato’ Abdul Samad telah berjaya mendapat keputusan cemerlang. Kesemua mereka berjaya mendapat keputusan lapan A. Dia tidak menyangka bahawa dia telah berjaya mendapat keputusan cemerlang lapan A. Rina berasa sangat gembira, segala usahanya yang telah dilakukannya selama ini tidak sia-sia.
                “Ya Allah, aku benar-benar bersyukur kepadaMu, terima kasih Ya Allah”, doa Rina.
                Rina pulang dengan penuh perasaan gembira. Dia ingin berkongsi kegembiraannya bersama ibu dan ayahnya.
                “Ibu! Ayah! Rina dah berjaya. Rina telah mendapat kejayaan yang Rina inginkan”, jerit Rina sekuat hati tanda gembira. Ibu dan ayahnya keluar setelah mendengar jeritan Rina.
                “Alhamdulilah, akhirnya anak ibu dah berjaya”, luah hati ibu sambil memandang tepat kepada wajah suaminya.
                “Ibu! Ayah!, Rina dah berjaya, Rina dah buktikan kepada ibu dan ayah”, kata Rina kepada kedua ibu dan ayahnya.
                “Ya nak, kamu telah berjaya. Jadi selepas ini kamu akan melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh”, kata ayahnya pula. Rina dan ibunya tersenyum mendengar kata ayahnya.
                Akhirnya, Rina telah berjaya melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaa’far. Ibu dan ayahnya berbangga dengannya kerana walaupun dia pernah gagal dalam Pra PMR, namun dia tidak pernah berputus asa. Rina tetap terus berusaha demi kejayaan. Bak kata pepatah “nak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Mereka tidak menyangka anak mereka yang selama ini mereka didik telah berjaya dengan cemerlang dalam PMR. Mereka sentiasa mendoakan agar Rina terus berjaya dalam kehidupannya kelak.

No comments: