Saturday, August 25, 2012

Usaha Tangga Kejayaan



Oleh
Nurul Emiera bt. Rohaizad
(Pemenang Hadiah Menulis Cerpen)

Rina adalah seorang gadis yang baik. Dia berumur 15 tahun dan tinggal bersama keluarga yang hidup sederhana. Namun Rina tetap bersyukur atas nikmat yang telah diberikan oleh Allah s.w.t kepadanya. Rina adalah seorang anak tunggal yang sering mendengar kata ibu bapanya. Dia tidak pernah melawan kerana dia tahu bahawa perbuatan itu adalah dosa.
                Rina adalah seorang yang mementingkan pelajaran. Pada tahun ini, dia akan menghadapai Penilaian Menengah Rendah (PMR). Oleh itu, Rina berazam untuk mencapai kejayaan lapan A dalam PMR. Dia tidak ingin mengecewakan kedua ibubapanya yang telah mendidiknya sejak kecil lagi.
                “Rina, kamu belajarlah bersungguh-sungguh nak, Tanamkan azam dalam diri kamu untuk mencapai kejayaan lapan A dalam PMR”. Pesan ibunya.
                “Insyallah ibu, Rina akan belajar bersungguh-sungguh. Rina tidak akan mengecewakan ibu dan ayah” janji Rina kepada ibunya.
                Di sekolah, Rina mempunyai ramai teman. Mereka sering membuat perbincangan tentang pelajaran. Mereka sentiasa bersikap serius ketika guru sedang mengajar kerana mereka tahu bahawa sekiranya mereka tidak serius ketika guru sedang mengajar mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran.
                “Baiklah pelajar-pelajar, dua minggu lagi kamu semua akan menghadapi Pra PMR. Saya harap kamu sudah membuat persediaan yang secukupnya untuk peperiksaan tersebut dan tolong ingat pesan saya, usaha adalah tangga kejayaan. Jadi kamu semua berusahalah bersungguh-sungguh. Jangan kecewakan kedua ibubapa yang telah mendidik dan menjaga kamu sejak kecil”. Kata cikgu Riduan kepada Rina dan rakan-rakan sekelasnya.
                Sejak itu, Rina dan rakan sekelasnya yang lain mula membuat persediaan untuk peperiksaan yang akal menjelang. Mereka sering membuat perbincangan bersama di dalam kelas. Cikgu Riduan juga sering membuat kelas tuisyen untuk mereka demi kejayaan mereka bersama.
                “Saya tidak mahu kamu semua gagal dalam peperiksaan ini. Saya mahu kamu semua berjaya dan kerana itulah saya sanggup korbankan masa untuk kamu semua dengan mengadakan kelas tuisyen”. Kata cikgu Riduan kepada anak-anak murid yang disayanginya.
                Akhirnya, Pra PMR telah pun berlalu. Keputusan juga telah diberikan, semua rakan Rina telah lulus dalam peperiksaan tersebut tetapi Rina berasa terkejut dengan keputusan yang diperolehnya. Dia benar-benar tidak menduga dengan keputusan yang diperoleh dari Pra PMR tersebut. Rina berasa sangat sedih. Dia telah mengecewakan kedua ibu bapanya dengan begitu juga dengan cikgu Riduan.
                “Ya, Allah apakah ini satu ujian untukku?. Ya Allah, sesungguhnya aku telah berusaha dengan bersungguh-sungguh, tetapi mangapa aku gagal?. Astaghfirullahalazim. Ya Allah, engkau tenangkanlah hatiku dan berikan aku kekuatan. Jauhilah aku dari sifat berputus asa”, Doa Rina dalam hati sambil menangis.
                “Rina, awak janganlah bersedih. Awak kena terima semua ini dengan hati yang tenang, Rina. Awak tidak boleh salahkan takdir. Ini semua ujian dari Allah. Dia nak awak terus berusaha untuk mencapai kejayaan. Masih belum terlambat lagi”. Kata cikgu Riduan kepada Rina.
                “Saya faham cikgu, tapi saya dah kecewakan ibu dan ayah. Saya tak sanggup hendak tunjukkan keputusan saya kepada mereka. Tentunya mereka akan memarahi saya nanti, kan cikgu?”, jawab Rina.
                “Rina, tak baik awak berkata begitu. Setiap ibu bapa tidak akan pernah membenci anaknya sendiri. Awak perlu yakin bahawa awak pasti akan berjaya”, tambah cikgu Riduan kepada Rina.
                “Baiklah cikgu, mulai saat ini, saya akan berusaha lagi dengan lebih bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam PMR yang bakal saya dan rakan-rakan hadapi tidak lama lagi”, jawab Rina.
                Sebaik sahaja tiba di rumah, Rina terus menangis di pangkuan ibunya. Dia tidak sanggup untuk memberitahu keputusan peperiksaan kepada ibu dan ayahnya.
                “Kenapa ni sayang?”, tanya ibunya.
                “Ibu, maafkan Rina yang telah kecewakan ibu dan ayah, maafkan Rina” jawab Rina sambil menangis.
                “Sayang, itu semua adalah takdir Allah. Tidak mengapalah nak, gagal tidak bererti akan gagal untuk selamanya. Ibu harap dalam PMR sebenarnya nanti kamu akan mencapai kejayaan yang kamu inginkan selama ini”, kata ibunnya.
                “Ibu, Rina janji, Rina akan buktikan kepada ibu dan ayah yang Rina boleh berjaya”, kata Rina.
                Semenjak itu, Rina sering membuat latihan tambahan di rumah. Ibunya sering memberikan sokongan dan dorongan kepadanya. Rina juga sering bertanya kepada guru sekiranya dia tidak memahami sesuatu tajuk. Rina tidak pernah berhenti membuat latihan. Dia tetap berusaha bersungguh-sungguh. Rina tidak pernah jemu membuat latihan kerana dia tahu bahawa dengan membuat latihan, dia akan dapat mengukuhkan lagi kefahaman terhadap sesuatu mata pelajaran.
                Pada suatu pagi di dalam bilik darjah tiga Arif, selepas loceng masa ke-4 yang menandakan waktu rehat bagi semua pelajar menengah rendah. Kelihatan rakan-rakan kelas Rina bergegas keluar kelas untuk menjamu selera di kantin sekolah. Suasana mula hiruk-pikuk dengan suara pelajar-pelajar yang tidak sabar dengan urusan masing-masing.
                “Rina, aku cukup bangga dengan engkau. Walaupun kau gagal dalam Pra PMR namun kau tidak pernah berputus asa. Malah engkau terus berusaha bagi mencapai kejayaan yang sudah lama diidamkan itu”, kata Linda teman baik Rina kepadanya.
                “Aku tidak akan pernah putus asa. Aku tak nak kecewakan ibu dan ayah aku lagi. Aku nak buktikan kepada mereka yang aku akan berjaya”, kata Rina kepada Linda.
                Sebulan selepas peristiwa itu, esok merupakan hari penting bagi Rina bersama rakan-rakan sekelasnya. Mereka akan menduduki Penilaian Menengah Rendah.
                “Ya Allah, engkau berkatilah segala usaha yang telah aku lakukan. Berikan kejayaan kepadaku Ya Allah” Doa Rina dalam solat subuhnya pagi itu. Selesai memakai pakaian seragam sekolah Rina terus menuju ke dapur rumah untuk bersarapan bersama ayah dan ibunya. Rina terus duduk di meja makan bersebelahan dengan ibunya. Mereka berpesan agar Rina sentiasa fokus dalam menjawab soalan-soalan PMR nanti.
                Akhirnya, tiga hari kemudian PMR telah pun berlalu. Rina dan rakan-rakanya berasa cukup lega kerana mereka telah pun menghadapi ujian yang penting. Mereka telah pun berusaha dengan bersungguh-sungguh. Kini mereka hanya mampu bertawwakal kepada Allah supaya mereka mendapat kejayaan yang cemerlang dalam PMR.
                Kira-kira tiga bulan selepas mereka menduduki PMR, keputusan PMR akan diumumkan. Seramai 30 orang pelajar SMK. Dato’ Abdul Samad telah berjaya mendapat keputusan cemerlang. Kesemua mereka berjaya mendapat keputusan lapan A. Dia tidak menyangka bahawa dia telah berjaya mendapat keputusan cemerlang lapan A. Rina berasa sangat gembira, segala usahanya yang telah dilakukannya selama ini tidak sia-sia.
                “Ya Allah, aku benar-benar bersyukur kepadaMu, terima kasih Ya Allah”, doa Rina.
                Rina pulang dengan penuh perasaan gembira. Dia ingin berkongsi kegembiraannya bersama ibu dan ayahnya.
                “Ibu! Ayah! Rina dah berjaya. Rina telah mendapat kejayaan yang Rina inginkan”, jerit Rina sekuat hati tanda gembira. Ibu dan ayahnya keluar setelah mendengar jeritan Rina.
                “Alhamdulilah, akhirnya anak ibu dah berjaya”, luah hati ibu sambil memandang tepat kepada wajah suaminya.
                “Ibu! Ayah!, Rina dah berjaya, Rina dah buktikan kepada ibu dan ayah”, kata Rina kepada kedua ibu dan ayahnya.
                “Ya nak, kamu telah berjaya. Jadi selepas ini kamu akan melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh”, kata ayahnya pula. Rina dan ibunya tersenyum mendengar kata ayahnya.
                Akhirnya, Rina telah berjaya melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaa’far. Ibu dan ayahnya berbangga dengannya kerana walaupun dia pernah gagal dalam Pra PMR, namun dia tidak pernah berputus asa. Rina tetap terus berusaha demi kejayaan. Bak kata pepatah “nak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Mereka tidak menyangka anak mereka yang selama ini mereka didik telah berjaya dengan cemerlang dalam PMR. Mereka sentiasa mendoakan agar Rina terus berjaya dalam kehidupannya kelak.

Thursday, August 23, 2012

Kasih Sayang Seorang Adik

            Aku Cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis itu, aku ambil 50 sen dari poket ayah. Petang itu, pulang sahaja dari sekolah, ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dnding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa yang kelaparan.
            Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu, Cuma tunduk memandang lantai.
“Baik, kalau tak mengaku dua-dua ayah rotan!” sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah kedua-dua belah tangannya sambil berkata, “saya yang ambil”.
            Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walaupun menahan sakit, setitis pun air mata adik tak tumpah.
            Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut. “Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?”.
            Malam itu, emak dan aku tal lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat di penuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.
            Melihat keadaan iru, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahan aku bagaikan baharu semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.
            Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata. “Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran, abang bangga sekali”.
            “Tapi apalah maknanya bang...!”. Aku terdengar ibu teresak-esak.
            ‘Di mana kita nak cari duit membiayai mereka?” ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.
            “Ayah, saya tak mau ke sekolah lagi!”. Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnta dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik sedalam-dalamnya.
            Pannnngggg... sebuah penampar singgah di pipi adik, seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
            “Kenapa kamu ni?. Tau tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!”
            “Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan”, aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
            “Kakak perempuan... biarlah kakak yang berhenti”. Tiada siapa yang menyangka dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersama beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat. “Kak, untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat kakak”.
            Apa lagi yang aku tahu selain meraung, ayah termenung jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa. “Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar”
“Pemuda kampung” bisikku.
“Siapa...” tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.
“Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang”.
Sambil tersenyum dia menjawab, “Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tau saya adik kakak?”. Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengar jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas berbutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara”. Akak tak peduli apa otang lain kata”. “Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, “Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak”. Aku kaku. Sepatah kata pun tidak terucap oleh diriku. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tidak dapat ditahan-tahan.
Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu. Lalu aku berkata, “emak, tak payahlah kerja teruk-teruk besihkan rumah menyambut kepulangan saya”. Lantas emak menjawab, “adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka.
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyuman adik. Kami berdakapan. “Sakit ke?”, aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.
“Tak... akak tau, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras. Apalagi... aku menangis seperti selalu.
Aku sudah berkahwin pada usiaku 27 tahun. Suamiku seorang usahawam telah menawarkan jawatan pengurus kepada adik. “Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain nanti kak”. Kata adik.
“Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada”, sambung adik.
“Adik tak ke sekolah kerana kakak,” kata ku memujuk.
“Kenapa sebut kisah lama, kak?” katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya. Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis kampung, juruacara majlis bertanya, “  siapakah orang yang paling anda sayangi?”.
Spontan adik menjawab, “selain emak, kakak saya..” katanya lantas menveritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingat.
“Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikan kepada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah, saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar. Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri, saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila”.
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.
                                                  

Hasil karya: Aiman Nurbaya Binti Asri, 3 RK.

Pemenang Hadiah Cerpen Minggu Bahasa.

Prosa Tradisional Melayu

PANTUN BUDI BAHASA
Adik mengaji di rumah Cik Seri,
            Rumah Cik Seri di Pekan Salak;
Ibu dan bapa harus dihormati,
            Agar mendapat kebahagian kelah.

Pak Haji pergi memancing,
            Pinangan untuk Si Anak Teruna;
Jasa mereka harus dikenang,
            Agar menjadi orang berguna.

Pokok durian daunnya luruh,
            Pokok ditanam di tanah pusaka;
Jangan membantah apabila disuruh,
            Sebagai tanda menghormati mereka.

Pergi ke hulu menaiki sampan,
            Sampan dipenuhi muatan berat;
Mendoakan mereka satu kewajipan;
            Untuk kesejahteraan dunia kewajipan.

Ibu membuat kuih Melaka,
            Kuih dibuat dengan mudah;
Jangan sesekali menyakiti mereka,
            Sekali terluka membawa padah.
Nur Ain Binti Nasir, 3 RK.
Pemenang Hadiah Mencipta Pantun Minggu Bahasa.


PANTUN ADAB
Pokok kelapa dipinggir kota,
            Deretan Ru menambah seri;
Segala adab jangan dilupa,
            Agar tidak memakan diri.

Tanam betik di belakang rumah,
            Rumah berada di pinggir jalan;
Eloklah kita menjaga maruah,
            Supaya tidak dijadikan umpatan.

Buah rambutan buah berangan,
            Bila dimakan terasa manisnya;
Beri salam satu amalanan;
            Hidup kita pasti ceria.

Mak Jemah pergi ke pantai,
            Tujuan ke sana ingin berenan;
Jika ingin disenangi sahabat handai,
            Jadilah orang yang sentiasa tenang.

Kelip-kelip kusangka api,
            Kalau api mana puntungnya;
Guru-guru banyak berbakti,
            Haruslah kita hormatinya.

Nurkilan Nur Afiqah Binti Azhar, 3 RK.
Pemenang Hadiah Mencipta Pantun Minggu Bahasa.



PANTUN BUDI BAHASA
Bunga Melur, Bunga Raya,
            Untuk hiasan dalam istana;
Nilai murni amalan mulia,
            Marilah kita amalkan bersama.

Anak muda pergi menjaja,
            Menjaja sayur dan juga ikan;
Amanahlah kita dalam kerja,
            Agar hidup diberkai Tuhan.

Nelayan tua berkaitan batik,
            Pulang ke pantai ketika senja;
Bertanggungjawab sikap yang baik,
            Jadikan ia amalan kita.

Negeri bernama Cendana Pura,
            Rakyat bersatu negerinya aman;
Ikhlaskan hati dalam setiap perkara,
            Agar dikasihi oleh Tuhan.

Nurkilan Norsyamimi Binti Zamzuri, 3 RK.
Pemenang Hadiah Mencipta Pantun Minggu Bahasa.
           

PANTUN BUDI BAHASA
Apa gunanya berkain batik,
            Kalau tidak dengan sujinya;
Apa guna isteri cantik,
            Kalau tidak dengan budinya.

Sarat perahu muat pinang,
            Singgah berlabuh di Kuala Daik;
Jahat berlaku lagi dikenang,
            Inikan pula budi yang baik.

Anak Angsa mati lemas,
            Mati lemas di air masin;
Hilang bahasa kerana emas,
            Hilang budi kerana miskin.

Biarlah orang bertanam buluh,
            Mari kita bertanam padi;
Biarlah orang bertanam musuh,
            Mari kita menanam budi.

Jikalau kita bertanam padi,
            Senanglah makan adik-beradik;
Jikalau kita bertanam budi,
            Orang yang jahat menjadi baik.

Saya tidak menanam nenas,
            Tanam kepaya dalam padi;
Saya tidak memandang emas,
            Budi bahasa yang saya cari.

Nukilan Nadia Agila Binti Azmi, 2 Bestari.
Pemenang Hadiah Mencipta Pantun Minggu Bahasa.


PANTUN BUDI BAHASA
Rendang sungguh pohon kelapa,
            Hidup subur di tengah laman;
Sopan kata jangan dilupa;
            Budi yang elok kita amalkan.

Dayung sampan membawa padi,
            Guni dipikul pemuda sasa;
Indah tampan kerana budi,
            Tinggi darjat kerana bahasa.

Berkawan sambil tolong menolong,
            Jangan menolong sewenang-wenang;
Hidup sentiasa bergotong-royong,
            Kerja susah menjadi senang.

Pergi ke kedai membeli betik,
            Singgah sebentar di Pekan Tanjong;
Jika kita berbuat baik,
            Budi bahasa sentiasa disanjung.

Mentari menyinar di siang hari,
            Burung berterbangan mencari makan;
Berbuat baik setiap hari,
            Budi bahasa jangan dilupakan.

Pergi ke kedai membeli alas,
            Alas dibeli di kedai Mak Ita;
Jika berbudi hendaklah ikhlas,
            Mohon dan maaf harap dipinta.

Norazlin Binti Mazlan, 4 Ekonomi.
Pemenang Hadiah Mencipta Pantun Minggu Bahasa.

PANTUN BUDI BAHASA
Pergi belayar di Tasik Chini,
            Ikan di air berenang-renang;
Dalam kehidupan hendaklah berbudi;
            Supaya hidup sentiasa dikenang.

Bintang berkelipan di malam hari,
            Bumi berputar pada paksinya;
Janganlah kita selalu membenci,
            Kerana budi bahasa amalan kita.

Pergi ke kedai membeli roti,
            Roti dibeli di kedai Cik Hawa;
Berbudi bahasa amalan terpuji,
            Semoga hidup sentiasa sejahtera.

Bunga Kenanga, Bunga Dahlia,
            Bunga Mawar cantik berseri;
Senyuman manis hati gembira,
            Berbudi bahasa amat disanjungi.

Hati senang ketawa girang,
            Burung Merpati berterbangan-terbangan;
Berbuat baik hidup senang,
            Budi bahasa jadikan pegangan.

Nurkilan Nur Alia Sabila Binti Musa, 4 Ekonomi.
Pemenang Hadiah Mencipta Pantun Minggu Bahasa.

 PANTUN BUDI BAHASA
Pisang kelat digonggong helang,
            Jatuh ke lubuk Inderagiri;
Jika mahu dihornat orang,
            Haruslah baik sahsiah diri.

Pergi mendaki Gunung Daik,
            Hendak menjerat kancil dan musa;
Tanamkan tekat niat yang baik,
            Agar cemerlang anak bangsa.

Hari malam gelap-gelita,
            Ditemani bintang yang berkelipan;
Ilmu itu suatu pelita,
            Sebagai bekalan di masa depan.

Tuan Haji memakai jubah,
            Singgah sembahyang di tepi lorong;
Sikap buruk perlu diubah,
            Jadikan hati sebagai pendorong.

Banjaran Titiwangsa gagah perkasa,
            Gagah menyokong negara Malaysia;
Bahasa Melayu penghubung kita,
            Santun berbahasa melambangkan bangsa.

Nurkilan Norfazlin Binti Hazim, 4 Sains.
Pemenang Hadiah Mencipta Pantun Minggu Bahasa.

TRAVEL LOG VIETNAM


HO CHIN MINH CITY.
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan...





MUZIUM HO CHIN MINH CITY



PEJABAT POS HO CHIN MINH CITY
ANTARA BANGUNAN YANG MENARIK
MALAM DI BENH TAN MARKET
PEJABAT POS LAMA
BOT DI SUNGAI MEKONG
DI HADAPAN RESTORAN NYONYA